Friday, 18 April 2014

Sedapkah Makan Daging Saudara Sendiri?

Salam.

sedapkah-makan-daging-saudara-sendiri

Takziah buat peguam Malaysia, Karpal Singh a/l Ram Singh.
Doaku buat Wardina Saffiyah dan Ustaz Don Daniyal, moga kamu berdua mendapat petunjuk terhadap kesulitan yang melanda.
Doaku buat Mawar dan Fizo, moga segalanya dapat dipulihkan semula.

" Jangan bersangka buruk dengan orang lain". Itu yang aku pelajari dari menonton Tanah Kubur petang tadi.
Sangat mudah. Sangat ringkas. Namun, sukar untuk dilakukan.
Kita manusia, sangat lemah.
Kerana itulah Allah turunkan Al-Quran Al-Karim supaya kita diberi petunjuk dan pengajaran untuk hidup ke arah kesempurnaan mendapat berkat dariNya.

Gambar diambil dari hasil carian di Google Image. Hakmilik blog English The 25.
Aku sendiri selalu bersangka buruk terhadap orang lain.
Aku fikir, asal ada perempuan yang mendekati lelaki ku, dia cuba menggoda dia. Walhal, mereka hanya kawan. Tapi, aku rasa, itu lebih kepada risau dan cemburu. Hehe..

Peguam Malaysia telah 'pergi' meninggalkan kita. Terrrrrlalu banyak spekulasi dan cerita yang keluar. Ya, laman sosial yang kadangkala sial adalah medannya. Kenapa ya?

Kalau dulu, mulut ke mulut, cerita asal ditokok tambah dengan pendirian sendiri lalu menjadi sebuah cerita menarik walhal ada mungkinnya fitnah.
Kini, cerita tokok menjadi berrrrrleluasa sekelip mata.
Bayangkan. Pagi itu, aku masih mamai terkebil-kebil mencari kewarasan dari bangun tidur. Aku buka akaun Facebook. Fulamak! Penuh dinding Facebook aku dengan berita mengenai kematian peguam negara. Jujurnya, aku jarang tengok berita di TV mahupun membaca suratkhabar gara-gara hadirnya pemberita freelance ini.
Masa tu, aku dah tahu. Pasti akan ada cerita panas, segala aib, cerita, kisah, gambar, video yang tak pernah tersiar, TUPP! Keluar berjela-jela. Ya, sangkaan ku betul.

Aku rasa fenomena membuka pekung orang, membuka aib orang semakin menjadi-jadi, semakin berleluasa bagaikan trend masa kini. Kita boleh lihat adanya trend 'troll'. Mengambil gambar entah sesiapa, digubahnya dialog, TARAA! Jadi bahan jenaka. Kadang terfikir, siapa neraka yang memulakannya?

Gambar diambil dari Google Image.
 Dulu aku ada menjadi pengikut satu akaun di Twitter, memfokuskan penceritaan tentang keburukan, kebodohan, kepoyoan remaja di Kuala Lumpur. Pada mula, ya, kelakar, seronok. Tapi, setelah aku berfikir waras, oh tidak, aku rasa sangat malu kerana menjadi sebahagian daripada mereka yang membuka aib orang.

Aku ada terbaca komen individu yang melakukan pekerjaan ini. Katanya,"Kalau dorang tak malu buka aib sendiri, so kiranya aku ni tak membuka aib dia lah." Katanya lagi,"Niat aku nak menegur supaya dia tak buat perkara memalukan ini."

Oh, begitu ke? Berikan dalil atau hadis yang mengatakan cara kau tu betul.
Aku petik dari artikel seorang penulis blog - Anida. (Terima kasih Anida dengan artikel yang sangat berguna)

Para ulama mengharamkan ghibah (mengungkapkan aib saudaranya sesama muslim pada saat orang itu tidak ada dihadapannya dan saudaranya itu tidak menyukainya jika berita tersebut sampai kepadanya tanpa adanya suatu keperluan.) ini jika dilakukan tanpa adanya suatu kepentingan bahkah termasuk kedalam kategori dosa besar, sebagaimana disebutkan didalam firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Artinya : “Dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (QS. Al Hujurat : 12)

Astaghfirullah al'azim. Astaghfirullah al'azim. Astaghfirullah al'azim. 

Gambar diambil dari Google Image.
 Aku tahu, kadang kala ada juga kelakarnya sesetengah cerita dari membuka aib orang tu seperti budak sekolah rendah bercinta bagai romeo dan juliet, yang pernah hangat di laman sosial. Tapi pada aku, mereka tak bodoh. Mereka hanya pantas mengikut apa yang mereka pelajari...dari kita yang dewasa. Hmmhh...

Kerana itu, jangan bersangka buruk dengan orang.

Ada caranya untuk menegur. Menegur si dia secara rahsia, itu tandanya kita ikhlas untuk melihat dia berubah dan tidak lagi melakukan kesilapan. Tapi, andainya kita menegur dengan kuat, terlalu terbuka, sehingga memalukan dia, itu tandanya kita bagai mahu menunjuk, tidak ikhlas melihat dia berubah. Tapi kalau kita sebarkan aib orang dan membiarkan orang lain menghentam dia dan memalukan dia, apakah tandanya itu? Astaghfirullah al'azim. Sungguh. Aku sangat sebak sekarang. Kerana yang melakukannya adalah saudara Islam ku sendiri. Ya Allah, aku tak mahu memakan daging saudara ku sendiri, dan aku tak mahu sebaliknya.

Mungkin kerana kita tak kenal dia, dan kita tak boleh nak berjumpa muka ke muka, tapi, hey, inikan zaman teknologi canggih. Pelbagai cara lain boleh menegur. 

Gambar diambil dari Google Image. Hakmilik seorang blogger.
 Aku suka tengok dinding Facebook kerana sekarang ni banyak rakan-rakan dan saudaraku berkongsi mengenai agama dan moral yang baik. Dan itu adalah antara cara aku untuk menerima teguran. Contoh, dulu aku bertudung tapi tak menutup dada. Tapi setelah membaca dan melihat gambar kartun atau gambar kata-kata hikmah mengenai wajibnya menutup aurat dengan sempurna, Alhamdulillah, perlahan-lahan, aku mulai berhijab menutupi dada, dan kurang bersolek. Alhamdulillah. Moga Allah membuka pintu hati saudaraku yang lain.

Jadi, apakah kita pernah terjebak dalam program kafir laknattullah, menyebarkan fitnah dan aib orang, ini?
Apakah dengan menyebarkan kisah dosa orang lain itu akan memberi pahala kepada kita?
Apakah masa yang diberikan kepada kita oleh Allah swt. ini perlu kita isi dengan perlakuan seperti itu?
Apakah cara kita ini betul?
Tepuk dada tanya iman. 

Wallahu alam.

Aku mungkin bukan seorang muslimah yang sempurna, tapi niatku hanya ingin menceritakan pandangan ku, dengan harapan, dapat membantu kita untuk berfikir ke jalan yang benar.